Thursday, 29 September 2016

8.0 Kesimpulan



  8.0 KESIMPULAN 



Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.Malaysia pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dahulu. Akhirnya,kita dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara kita seperti Cina, Melayu, India, Kadazan dan sebagainya. Peribahasa “ rambut sama hitam, hati lain-lain” jelas menunjukkan walaupun manusia mempunyai warna rambut yang sama tetapi sukma dan keinginan manusia adalah berbeza. Dengan mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat, barulah masyarakat harmoni yang mempunyai aspirasi yang sama dapat tercapai. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia,seperti kata peribahasa, “ bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

No comments:

Post a Comment