Thursday 29 September 2016

1.0 Pengenalan



1.0 PENGENALAN





Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum. Malahan, kepelbagaian ini adalah kekuatan yang mewarnai corak negara ini. Tidak hairanlah Malaysia menjadi model sebuah masyarakat majmuk kepada masyarakat yang lain. Oleh itu, perpaduan dan intergrasi nasional adalah satu keperluan bagi menjamin rakyatnya hidup dalam suasana aman damai. Perpaduan nasional umumnya merujuk kepada penyatuan berbagai-bagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza. Usaha ke arah perpaduan dapat dilihat melalui penyatuan Sabah, Sarawak dengan negeri-negeri Semenanjung. Selain itu, usaha tersebut juga boleh dilihat melalui usaha kerajaan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan meletakkan kumpulan etnik yang berlainan latar belakang di satu kawasan perumahan yang sama.
Manakala konsep integrasi adalah lebih luas. Ia dikatakan satu proses yang abstrak, satu penyatuan yang sebati dan berpanjangan. Integrasi merupakan satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti. Ekoran kejadian 13 Mei 1969, kerajaan mula menumpukan usaha-usaha dan strategi-strategi ke arah mewujudkan integrasi nasional. Ringkasnya, perpaduan dan integrasi nasional adalah matlamat asas bagi negara Malaysia. Konsep perpaduan sangat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh dan bersatu padu. Secara tidak langsung, perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi, politik dalam jangka masa panjang. Bagi memantapkan lagi perpaduan di kalangan rakyat pelbagai etnik dan kaum, kerajaan telah mewujudkan beberapa strategi melalui pendekatan ekonomi, politik dan pendidikan untuk mencapai matlamat perpaduan.

No comments:

Post a Comment