8.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus
diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat
adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta
menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.Hubungan
kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara.
Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan
komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.Justeru,
masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia
iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan,
kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.Malaysia
pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi
pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara
kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa
mengira agama dan bangsa.Sebarang
kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang
diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan
dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan
membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin
dahulu. Akhirnya,kita
dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat Malaysia,
pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang
kaum di negara kita seperti Cina, Melayu, India, Kadazan dan sebagainya.
Peribahasa “ rambut sama hitam, hati lain-lain” jelas menunjukkan
walaupun manusia mempunyai warna rambut yang sama tetapi sukma dan
keinginan manusia adalah berbeza. Dengan mewujudkan perpaduan kaum dalam
kalangan masyarakat, barulah masyarakat harmoni yang mempunyai aspirasi
yang sama dapat tercapai. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat
Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan kaum dalam
kalangan rakyat Malaysia,seperti kata peribahasa, “ bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.